PUTRAJAYA:Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi menegaskan
bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan berkata bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).
Katanya, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) di atas tapak Menara Kuala Lumpur selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
“Sehubungan dengan
itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan
kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 April 2025 dan 9 April 2025.
“Oleh itu, sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB hingga
kini adalah tanpa kebenaran kerajaan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan, demi keselamatan dan keselesaan pengunjung serta bagi memberi ruang kepada
pengurusan baharu untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan
penambahbaikan bangunan.
Katanya, Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara
waktu.
“Tarikh pembukaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media,” jelas kenyataan itu.