KUALA LUMPUR: Malaysia dan China bersetuju menubuhkan Mekanisme Dialog Bersama Luar Negeri dan Pertahanan untuk memperluaskan saluran komunikasi strategik ke peringkat tertinggi dan platform dalam kerjasama keselamatan politik.
Menerusi kenyataan bersama, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping juga menyatakan komitmen untuk mengekalkan interaksi tahap tinggi selain mengukuhkan kepercayaan antara satu sama lain.
Langkah itu kata pemimpin kedua-dua negara itu sangat mustahak sebagai panduan strategik untuk jangka panjang dan pembangunan stabil hubungan dua hala tersebut.
“(Malaysia – China) bersetuju untuk meningkatkan dan memanfaatkan mekanisme kerjasama ini untuk keselamatan negara, pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang,” menurut kenyataan itu
Sementara itu, Putrajaya dan Beijing juga memaklumkan kedua- dua kerajaan akan melaksanakan pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti latihan bersama, pertukaran lawatan dan kursus untuk pegawai kerajaan.
Katanya, kedua-dua pihak akan memperkukuhkan pertukaran pengalaman mengenai tadbir urus, mempromosikan interaksi antara kerajaan pusat dan tempatan.
Ini termasuk badan perundangan, dan parti politik, serta meneroka pembinaan mekanisme dialog dan pertukaran antara parti pemerintah untuk meningkatkan komunikasi dasar bagi mengukuhkan lagi asas politik untuk hubungan dua hala.
Dalam masa sama, kedua-dua pihak menegaskan penentangan terhadap sebarang bentuk keganasan dan akan bersama-sama memerangi jenayah rentas negara untuk menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Jinping tiba di Kompleks Seri Perdana semalam, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkan hubungan dan bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, selain akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU).
Tambah kenyataan itu lagi, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperbaiki dan menggunakan mekanisme kerjasama untuk keselamatan negara, pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang, serta menjalankan lebih banyak pertukaran.
Ini juga termasuk kerjasama dalam bidang seperti latihan dan latihan bersama, lawatan pertukaran, dan kursus untuk pegawai.