KUALA LUMPUR: Malaysia dan China terus menyatakan komitmen untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semasa Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, kedua-dua negara menekankan kepentingan menyelesaikan pertikaian melalui cara damai, mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Kuala Lumpur – Beijing turut menekankan keperluan semua pihak untuk bersikap menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di rantau ini.
Dalam kunjungan ke negara ini, Presiden Jinping turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan itu juga menegaskan, penglibatan pihak yang tidak berkaitan secara langsung boleh menjadi tidak produktif kepada usaha tersebut.
Malaysia dan China turut berikrar untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain bagi melaksanakan sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).
Kedua-dua negara menyatakan keyakinan untuk menyelesaikan Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif menjelang 2026, seperti yang digariskan dalam Garis Panduan untuk Mempercepatkan Penyelesaian Awal COC yang Berkesan dan Substantif.
Inisiatif ini bertujuan untuk mengubah Laut China Selatan menjadi kawasan keamanan, persahabatan dan kemakmuran.