Sunday, 20, April, 2025
Utama Tech Malaysia komited penglibatan dalam teknologi dan komunikasi angkasa

Malaysia komited penglibatan dalam teknologi dan komunikasi angkasa

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memperkukuh penglibatannya dalam teknologi dan komunikasi angkasa khususnya melalui pelaksanaan satelit Orbit Rendah Bumi (LEO).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil inisiatif berkenaan akan meletakkan kesalinghubungan berasaskan angkasa sebagai pemacu utama kemajuan negara dalam sektor digital, perindustrian dan ekonomi melalui penubuhan Altel Digital Integrated Sdn Bhd (ALTEL Digital).

“Bagi melindungi data negara dan mempertahankan kedaulatan digital, ALTEL Digital akan membangunkan serta mengendalikan infrastruktur utama sepenuhnya di dalam negara.

“Semua data pengguna akan diproses dan disimpan di dalam Malaysia bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan negara,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran ALTEL Digital di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Mohamad Helmi Harith serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Saintis Geespace Tony Wang.

ALTEL Digital adalah usaha sama strategik antara Altel Group Sdn Bhd dan Zhejiang Geespace Technology Co Ltd (Geespace) untuk menyediakan perkhidmatan satelit dan telekomunikasi terintegrasi serta menyediakan kesalinghubungan yang lancar di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

Ia dijangka memulakan operasi pada suku keempat 2025.

Selain infrastruktur, Fahmi turut memuji komitmen ALTEL Digital terhadap pembangunan bakat, termasuk penubuhan Pusat Kecemerlangan yang akan berfungsi sebagai hab latihan negara dalam bidang pengurusan, teknologi, kejuruteraan dan operasi.

Beliau juga mengiktiraf usaha memperkenalkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta modul kejuruteraan satelit di institusi pengajian tinggi tempatan melalui kerjasama dengan rakan industri seperti Geespace, yang akan memastikan Malaysia membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan siap sedia menghadapi cabaran masa depan.

Fahmi berkata ALTEL Digital dipacu oleh misi yang jelas dan strategik untuk membangunkan ekosistem perkhidmatan satelit yang selamat, mampan dan berteraskan negara.

Beliau berkata ia merangkumi usaha memupuk kepakaran tempatan, meletakkan Malaysia bukan sahaja sebagai pengguna teknologi satelit canggih tetapi juga menjadi pembangun dan penyedia perkhidmatan yang berdaya saing di peringkat serantau.

Di bawah portfolio satelit LEO, Fahmi berkata ALTEL Digital akan menyediakan empat perkhidmatan utama iaitu Internet benda (IoT) berasaskan satelit, penentuan kedudukan berketepatan tinggi, satelit backhaul dan satelit perkhidmatan jalur lebar, yang terus ke perkhidmatan rangkaian selular.

Beliau berkata perkhidmatan berkenaan akan memberi manfaat besar kepada sektor utama negara seperti pelaburan pintar, perkapalan, pengangkutan, pembuatan, pertanian, tenaga pintar dan elektronik.

“Semua inisiatif ini selaras dengan rangka kerja kebangsaan seperti Dasar Angkasa Negara 2030, Dasar 4IR (Revolusi Industri Keempat) Negara, Rancangan JENDELA (Pelan Rangkaian Digital Nasional) dan Akta Keselamatan Siber 2024,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com