Sunday, 20, April, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah catat salah guna dadah tinggi

Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah catat salah guna dadah tinggi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Empat negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini, dengan Kelantan mendahului senarai.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Kelantan mencatat 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menjadikan ia negeri paling terjejas.

Katanya, Perlis (965 kes), Terengganu (914 kes) dan Kedah (898 kes) turut mencatat angka yang membimbangkan.

“Keseluruhannya, sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah direkodkan sepanjang tahun 2024,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, pada Khamis.

Golongan muda paling terjejas

Tambah beliau, 61 peratus daripada jumlah kes melibatkan individu berumur antara 15 hingga 39 tahun, iaitu golongan paling produktif dalam masyarakat.

“Sebanyak 75 peratus daripada mereka adalah kaum Melayu, manakala 56 peratus terdiri daripada lelaki, dan 37 peratus merupakan penganggur,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ayob Khan memaklumkan bahawa daerah Pendang di Kedah mencatatkan kadar tertinggi di seluruh negara, iaitu 1,798 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Jumlah itu meningkat ketara berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 1,333 kes.

“Daerah-daerah lain yang turut merekodkan angka tinggi ialah Kuala Krai (1,442 kes), Bachok (1,315 kes), Tanah Merah (1,275 kes) dan Pasir Putih (1,265 kes), semuanya di Kelantan,” ujarnya.

Menurut kajian, pengaruh rakan sebaya menjadi punca utama penyalahgunaan dadah (47 peratus), diikuti rasa ingin tahu (18 peratus).

“Ini menunjukkan bahawa pencegahan tidak boleh disandarkan semata-mata kepada penguatkuasaan. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk pendidikan dan peranan komuniti,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan tindakan agresif membanteras sindiket dadah melalui operasi berterusan seperti Ops Kenari di Kedah baru-baru ini.

Sementara itu, pihak polis juga menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape, memandangkan terdapat laporan bahan terlarang dicampur dalam rokok elektronik tersebut.

“Ada negeri yang sudah mula melaksanakan larangan itu dan kita lihat ia memberi kesan positif,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com