Monday, 21, April, 2025
Utama Nasional Pasukan Khas Media Perlu Pelbagai Kepakaran – Pensyarah UUM

Pasukan Khas Media Perlu Pelbagai Kepakaran – Pensyarah UUM

oleh Ammar Haziq

Pasukan khas bagi memantau kesilapan media, namun kita tidak boleh membiarkan ia didominasi hanya oleh satu golongan. FOTO KECIL : Dr Azahar Kasim

SINTOK:Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azahar Kasim menyambut baik cadangan penubuhan pasukan khas di bawah Majlis Media Malaysia bagi memantau dan menganalisis kesilapan media tempatan.

Bagaimanapun beliau menegaskan pasukan itu mestilah terdiri daripada pelbagai latar belakang kepakaran.

Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak seperti ahli akademik, pengamal media, pakar undang-undang, dan wakil masyarakat sivil adalah penting bagi memastikan pasukan tersebut dapat menjalankan tugas dengan objektif dan menyeluruh.

“Saya bersetuju dengan langkah menubuhkan pasukan khas bagi memantau kesilapan media, namun kita tidak boleh membiarkan ia didominasi hanya oleh satu golongan.

“Perlu ada kepelbagaian pandangan agar analisis dan tindakan yang diambil benar-benar adil dan berkesan,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan pemantauan secara berstruktur dan terbuka akan membantu meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pengamal media serta mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap laporan yang disiarkan.

Beliau turut menyokong cadangan agar sesi latihan berkala diperkenalkan kepada petugas media bagi mengurangkan risiko kesilapan teknikal dan memastikan pematuhan terhadap standard etika yang tinggi.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Majlis Media Malaysia bakal menjadi platform kendiri untuk mengawal selia industri media, termasuk menangani isu-isu sensitif seperti penggunaan imej Jalur Gemilang yang tidak tepat.

Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat Februari lalu dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan integriti dan akauntabiliti media di negara ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com