Thursday, 8, May, 2025
Utama Tech Liputan Komunikasi di Sepilok dipertingkat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Liputan Komunikasi di Sepilok dipertingkat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

oleh Ammar Haziq

SANDAKAN :Liputan komunikasi di kawasan pelancongan utama seperti Sepilok perlu berada pada tahap terbaik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah menjalankan sesi pengujian kualiti liputan komunikasi di kawasan Sepilok, Sandakan.

Katanya, ujian dijalankan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok yang diselia oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah serta Rainforest Discovery Centre di bawah Jabatan Perhutanan Sabah.

“Program ini melibatkan penyedia perkhidmatan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech bagi menilai prestasi rangkaian mudah alih dan kualiti Internet sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil ujian mendapati liputan di kawasan tumpuan utama pengunjung adalah memuaskan, namun beberapa lokasi seperti kaunter penerimaan dan klinik veterinar di Pusat Pemuliharaan Orang Utan serta Lakeside Pavilion di Rainforest Discovery Centre masih mempunyai liputan lemah.

“Telco yang terlibat telah diminta mengambil tindakan segera bagi memperbaiki liputan sebagai langkah persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Dalam pada itu, sesi libat urus turut diadakan bagi mengenal pasti bentuk kerjasama antara pusat pelancongan utama negeri Sabah dengan Kementerian Komunikasi untuk memperkasa capaian komunikasi serta menyokong pertumbuhan industri pelancongan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin; dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com