Thursday, 8, May, 2025
Utama Nasional Jangan heret anak muda bincang isu yang melemahkan kita – PM

Jangan heret anak muda bincang isu yang melemahkan kita – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA PERLIS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menasihati semua pihak agar tidak mengheret golongan muda di negara ini ke dalam perbincangan isu-isu yang boleh melemahkan perpaduan dan pembangunan negara.

Beliau menegaskan bahawa anak muda perlu diberi peluang untuk membangunkan diri melalui penguasaan pelbagai kemahiran yang relevan dengan keperluan masa depan, termasuk dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) , Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan digital, serta kecerdasan buatan (AI).

“Jangan heret anak muda untuk berbincang isu yang melemahkan kita. Kita perlu bangunkan kekuatan mereka, bina negara ini, dan fikirkan masa depan rakyat serta anak muda kita untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Adakah kita mahu terus bergaduh soal kaum dan tafsiran, atau kita mahu angkat martabat negara supaya menjadi sebahagian daripada negara maju yang mampu menangani ujian semasa?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Perlis* di *Dataran Lok 9 , Kuala Perlis, pada Ahad.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat pada majlis itu.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan anak muda dapat berkembang dengan cemerlang. Antaranya ialah pemberian peruntukan terbesar melalui Belanjawan Madani bagi sektor pendidikan.

“Langkah ini adalah untuk melahirkan generasi yang cemerlang dalam pelbagai bidang, sekaligus mengangkat martabat negara ke peringkat tertinggi di rantau Asia,” tambah beliau.

Beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam membina masa depan yang lebih baik untuk generasi muda, tanpa terjebak dalam isu yang memecahbelahkan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com