Thursday, 8, May, 2025
Utama Nasional Malaysia, Maldives komited tingkatkan pelaburan, perdagangan dan pelancongan

Malaysia, Maldives komited tingkatkan pelaburan, perdagangan dan pelancongan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Malaysia dan Maldives bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pelaburan, perdagangan, dan pelancongan, sejajar dengan hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 57 tahun.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan Presiden Maldives, Mohamed Muizzu, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan rasmi empat hari beliau ke Malaysia.

Pertemuan tersebut berlangsung di Perdana Putra pada Isnin dan membuahkan pelbagai pelan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Dalam pertemuan itu, Presiden Mohamed Muizzu menzahirkan komitmen Maldives untuk menggalakkan pelabur Malaysia meneroka peluang pelaburan yang luas di negara kepulauan itu.

“Kedua-dua pemimpin memperakui potensi negara masing-masing dan yakin terhadap pertumbuhan nilai perdagangan, pelancongan, serta aktiviti pelaburan secara berterusan. Kerjasama ini mampu membawa manfaat besar kepada pembangunan ekonomi kedua-dua negara,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu.

Malaysia dan Maldives turut bersetuju untuk memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi meningkatkan kemasukan pelancong dari kedua-dua negara.

Fokus utama diberikan kepada pelancongan halal dan mesra-Muslim, sejajar dengan peningkatan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal.

Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam industri halal demi membantu pertumbuhan sektor pelancongan Maldives.

Antara perkara lain yang menjadi tumpuan ialah usaha memperkukuh Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) melalui pendidikan, latihan, dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara, termasuk kerjasama institusi pengajian tinggi.

Selain itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mempromosikan keamanan, kestabilan, dan kemajuan di peringkat serantau dan antarabangsa, memastikan hubungan strategik antara negara terus diperkukuh.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com