Tuesday, 6, May, 2025
Utama Nasional Gaji penengah cecah RM3,045, tanda pekerja Malaysia semakin maju

Gaji penengah cecah RM3,045, tanda pekerja Malaysia semakin maju

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Pekerja Malaysia melakar pencapaian membanggakan sempena sambutan Hari Pekerja 2025 apabila gaji penengah negara buat julung kalinya melepasi paras RM3,000, sekali gus mencerminkan peningkatan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.

Menurut penganalisis dasar dan penyelidik masyarakat, Salmah A. Ismail, peningkatan gaji penengah kepada RM3,045 daripada RM2,700 pada tahun lalu bukan sahaja memberi kelegaan kepada isi rumah, malah menunjukkan kematangan pasaran kerja negara.

“Ini bukan sekadar angka. Ia merupakan simbol kepada satu kehidupan yang lebih bermaruah bagi jutaan rakyat Malaysia yang bekerja setiap hari demi menyara keluarga dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kadar pengangguran yang menurun kepada 3.1 peratus pada Februari 2025, terendah dalam tempoh 10 tahun memperkukuh keyakinan bahawa negara sedang menuju ke arah kestabilan ekonomi dan kecekapan dalam penciptaan peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, jumlah rakyat yang bekerja meningkat daripada 16.91 juta orang pada hujung 2023 kepada 17.34 juta orang setahun kemudian, mencerminkan momentum positif dalam pasaran buruh.

“Lebih membanggakan, kadar penyertaan tenaga buruh kini berada pada paras 70.6 peratus, manakala penyertaan wanita turut mencatat peningkatan kepada 56.8 peratus. Ini bukti bahawa tenaga kerja wanita semakin mendapat tempat dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas mengenai latihan kemahiran, Salmah berkata kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini mencecah 94 peratus menunjukkan keselarasan sistem pendidikan teknikal dengan kehendak industri semasa.

Beliau turut memuji peningkatan kesedaran terhadap keselamatan sosial apabila jumlah pencarum PERKESO bagi sektor formal meningkat kepada 9.9 juta orang, manakala pencarum dalam kalangan pekerja sendiri meningkat kepada 900,000 orang berbanding 700,000 tahun lalu.

“Yang paling ketara ialah peningkatan penyertaan dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah. Kini lebih 500,000 wanita yang bekerja di rumah dilindungi di bawah skim ini, berbanding hanya 200,000 orang pada 2023. Ini satu langkah besar ke arah pengiktirafan kerja tidak berbayar yang selama ini dipinggirkan,” katanya.

Salmah menegaskan, meskipun pencapaian ini membanggakan, perjuangan pekerja perlu diteruskan terutama dalam memastikan hak dan kebajikan mereka terus dilindungi dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah.

“Hari Pekerja bukan hanya hari rehat. Ia adalah detik untuk kita merenung dan menetapkan langkah seterusnya agar pekerja terus dilihat sebagai tunjang pembangunan negara,” katanya.


Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com