Wednesday, 7, May, 2025
Utama Nasional Anwar tegur majikan susah naik gaji

Anwar tegur majikan susah naik gaji

oleh Ammar Haziq

BUKIT JALIL :Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur keras sikap segelintir majikan yang enggan menaikkan gaji pekerja walaupun dalam jumlah kecil.

Beliau berkata pekerja sepatutnya dibayar gaji yang bermaruah setimpal dengan kerja yang dilakukan.

Ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2025 peringkat kebangsaan di Axiata Arena di sini hari ini, Anwar mengingatkan bahawa para pekerja adalah penyumbang terbesar kepada kemajuan negara dan perlu dihormati sewajarnya.

“Seruan saya kepada pekerja, percayalah saudara tahu perkembangan negara ini mempunyai sejarah baik dan sejarah lemah, ada sejarah gemilang, ada sejarah rompakan. Kita pilih yang mana?

“Kita pilih gemilang, kita pilih hentikan amalan tindas pekerja, tamak haloba, naik gaji pekerja RM40 pun susah, ini apa jenis manusia (majikan),” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, termasuk membela nasib golongan pekerja di semua sektor.

“Tidak mudah nak dapat seorang perdana menteri yang menyuarakan begitu. Beruntung kerana tukang cuci, juruteknik, jurujual, semua pekerja diberi gaji munasabah.

“Selain gaji minimum, kita juga memperkenalkan gaji progresif. Ada orang kata kita bicara sahaja,” katanya lagi.

Anwar turut menyeru agar semua pekerja di negara ini terus bekerja dengan ikhlas dan penuh dedikasi demi pembangunan negara secara menyeluruh.

Sambutan Hari Pekerja 2025 turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan diserikan dengan penganjuran Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs yang berlangsung sejak Isnin lalu.

Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan melalui ekspo tersebut yang menghimpunkan lebih 150 majikan dari seluruh negara, menjadikannya antara platform kerjaya terbesar tahun ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com