Wednesday, 7, May, 2025
Utama Nasional Kosovo kenang jasa Malaysia: “pengiktirafan awal tanda persahabatan sejati”

Kosovo kenang jasa Malaysia: “pengiktirafan awal tanda persahabatan sejati”

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA:Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu, menyatakan penghargaan mendalam terhadap Malaysia yang tampil sebagai antara negara terawal menyokong negaranya ketika melalui saat-saat paling getir dalam sejarah moden. Malaysia bukan sahaja memberi bantuan ketika diperlukan, tetapi turut menjadi antara yang pertama mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada tahun 2008.

Menurut Dr Osmani, langkah itu bukan sekadar keputusan diplomatik, malah menjadi simbol harapan dan permulaan ikatan erat antara kedua-dua negara yang masih kukuh hingga ke hari ini.

“Keputusan itu membawa harapan, solidariti dan kepercayaan terhadap masa depan dan rakyat kami. Untuk itu, rasa terima kasih kami tidak akan pernah pudar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi empat hari ke Malaysia.

Beliau juga berkata melalui perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi ini, Malaysia dan Kosovo sedang meneroka pendekatan baharu dalam usaha meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Kami menegaskan semula komitmen kami untuk mengukuhkan hubungan diplomatik, memperluas perkongsian ekonomi dan penglibatan dalam bidang kepentingan bersama.

“Penubuhan kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur menghantar mesej yang kuat bahawa rakyat kita harus bekerjasama lebih rapat dan belajar lebih banyak antara satu sama lain,” katanya.

Osmani berkata lagi, Kosovo dan Malaysia juga telah bersetuju mengenai kepentingan memperluaskan perdagangan dan menggalakkan pelaburan yang lebih besar dalam sektor utama.

“Terdapat potensi yang besar dari sektor pertanian ke tenaga, teknologi ke industri halal.

“Oleh itu, kita mesti mengukuhkan hubungan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membuka jalan untuk prospek baharu,” katanya.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Oktober 2008, menjadi salah sebuah negara Asia pertama yang berbuat demikian. Hubungan diplomatik kemudiannya secara rasmi dijalinkan pada 18 Mac 2011.

Tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo mencapai RM28.55 juta, dengan eksport Malaysia ke republik itu bernilai RM25.92 juta dan import sebanyak RM2.63 juta.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com