KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia melihat kemungkinan pengurangan tarif timbal balas 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) berikutan kesediaan negara itu untuk membuka ruang rundingan lanjut dengan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah AS itu disambut baik dan dilihat sebagai peluang untuk mencari penyelesaian diplomatik, namun rundingan masih berada pada peringkat awal tanpa sebarang keputusan muktamad.
“Kita alu-alukan pengakuan dan kerjasama AS untuk berunding lebih lanjut. Namun, sekali lagi ditegaskan bahawa tiada sebarang persetujuan rasmi dimuktamadkan setakat ini,” katanya di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Parlimen pada Isnin.
Rundingan berkenaan menyusul selepas AS mengenakan tarif balas ke atas import dari Malaysia, satu tindakan yang dilihat menekan sektor perdagangan negara dan menimbulkan kebimbangan terhadap impaknya terhadap ekonomi.
Anwar menjelaskan bahawa semua perbincangan antara Malaysia dan AS tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA), sejajar dengan amalan antarabangsa yang mengutamakan kerahsiaan dalam rundingan strategik dan sensitif.
“Mana-mana perjanjian sebelum dimuktamadkan mesti dijaga kerahsiaannya. Sebaik sahaja dimeterai, ia akan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen,” jelas beliau.
Dalam masa sama, kerajaan sedang meneliti kesan tarif tersebut secara menyeluruh, terutama terhadap sektor-sektor utama negara dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan agensi berkaitan.
“Kita sedang menilai semula unjuran dan impak tarif ini ke atas ekonomi. Tindakan ini penting supaya sebarang keputusan atau rundingan dibuat berdasarkan data yang tepat dan kepentingan negara,” tegas Perdana Menteri.