SHAH ALAM – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan inisiatif FLYSiswa, bukan sahaja untuk subsidi tiket penerbangan tetapi juga bagi tambang pengangkutan darat di Semenanjung , kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim .
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan akan meneliti keperluan dan mekanisme pelaksanaan bagi membantu pelajar yang menggunakan pengangkutan darat, terutama bagi kawasan tertentu.
“Kita semua maklum bahawa tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak memang mahal, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan , maka sebab itu kita buat keputusan untuk memberi bantuan.
“Mengenai kemungkinan memperluaskan FLYSiswa di Semenanjung , saya akan berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke , mungkin untuk kawasan spesifik atau laluan tertentu,” katanya dalam Program Temu Anwar di Management and Science University (MSU) .
FLYSiswa merupakan program subsidi tiket penerbangan kepada pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti, institut pendidikan guru (IPG), dan pelajar matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) .
Subsidi ini membolehkan pelajar mendapatkan tiket penerbangan pada harga lebih rendah bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan .
Dalam program tersebut, Anwar turut mengumumkan bahawa Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) kini sedang merangka inisiatif baharu bagi memperluaskan penyertaan golongan muda dalam Program Felo Perdana .
Program ini akan menambah ruang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman secara langsung daripada kepimpinan kerajaan.
“Kita mahu memberi peluang kepada lebih ramai anak muda untuk memahami sistem pentadbiran negara, sekali gus mengelakkan mereka terpengaruh dengan tuduhan tidak berasas mengenai kerajaan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan melihat program ini sebagai platform terbaik untuk membentuk bakal pemimpin masa depan yang lebih memahami dasar dan hala tuju negara.