KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan AI, sebuah entiti strategik bagi memastikan Malaysia berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa majlis tersebut akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan dasar teknologi serta mempercepatkan pembangunan ekosistem digital negara.
Menurut Perdana Menteri, aset digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi faktor utama dalam pertumbuhan ekonomi global, justeru Malaysia perlu memanfaatkan teknologi ini secara progresif dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, kerjasama erat antara Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan memastikan dasar yang menyokong perkembangan teknologi secara berkesan.
Dalam mesyuarat pertama Majlis Penasihat Aset Digital dan AI, antara yang dibincangkan adalah potensi Malaysia sebagai hab utama bagi teknologi blok rantai (blockchain), aset digital serta sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam.
Teknologi seperti tokenisasi, stablecoin, aset kripto, AI, analitik data raya dan pengkomputeran awan dijangka akan memperkasa sektor kewangan digital, menjadikannya lebih cekap, selamat dan inklusif.
“Teknologi-teknologi ini mampu mempercepat transaksi, memperkukuh ketelusan pasaran serta meningkatkan tahap pematuhan dalam sistem kewangan digital,” kata Anwar.