Saturday, 5, July, 2025
Utama Nasional PMR bantu jana ekonomi, tingkat pendapatan usahawan – Hajiji

PMR bantu jana ekonomi, tingkat pendapatan usahawan – Hajiji

oleh Ammar Haziq

TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memuji pelaksanaan Program MADANI Rakyat (PMR) yang dibawa ke peringkat daerah kerana ia mampu membantu golongan usahawan meningkatkan pendapatan serta merangsang ekonomi tempatan.

Menurut beliau, program seperti ini memberi ruang kepada usahawan dan rakyat mendapatkan maklumat mengenai pelbagai inisiatif keusahawanan, selain mempromosikan produk tempatan kepada masyarakat luar.

“Usaha ini juga menjadi platform untuk kerajaan lebih dekat dengan rakyat. Ia membuktikan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa komited menjalankan tanggungjawabnya terhadap rakyat, tidak kira di mana mereka berada,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan PMR 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

Majlis berkenaan turut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji turut berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus menjadikan Sabah sebagai lokasi penganjuran program seumpama itu bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan di negeri ini.

Antara inisiatif keusahawanan yang sedang digerakkan di Sabah termasuk Projek Premis Tamu Desa, pendigitalan menerusi TEKUN TikTok Shop serta pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corporation Malaysia yang telah memberi manfaat kepada lebih 50,000 usahawan.

“Inisiatif ehsan@KUSKOP juga dilihat berpotensi besar dalam membasmi kemiskinan tegar menerusi pendekatan intervensi bersasar yang merangkumi bimbingan, latihan, pembiayaan modal dan pemantauan berterusan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya kemudahan perbankan bagi agensi di bawah KUSKOP seperti Bank Rakyat diperluas, termasuk dengan menambah cawangan atau sekurang-kurangnya menyediakan mesin ATM di kawasan luar bandar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com