KAZAN (Tatarstan) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Republik Tatarstan memiliki potensi besar untuk diterokai, terutama dalam bidang perdagangan dan ekonomi, termasuk industri halal serta perbankan Islam.
Dalam pertemuan dengan Rais (Ketua) Tatarstan, Rustam Minnikhanov di Kazan Kremlin, Anwar menegaskan bahawa Malaysia bersedia memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.
“Saya percaya Tatarstan memiliki potensi yang besar. Banyak cadangan telah dikemukakan, dan Malaysia bersedia untuk bekerjasama serta memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak,” kata Anwar dalam sesi perbincangan yang turut dihadiri Perdana Menteri Tatarstan, Alexey Pesoshin serta wakil kementerian dan industri utama republik itu.
Rustam menyambut baik keterbukaan Malaysia untuk menjalin hubungan lebih erat dan menyifatkan lawatan Anwar sebagai dorongan besar kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Rusia.
Malaysia, sebagai antara peneraju industri halal global, dilihat sebagai rakan strategik dalam membangunkan sektor halal di Rusia, termasuk Tatarstan yang mempunyai lebih 50 peratus penduduk beragama Islam.
Menurut Rustam, republik itu menjadi wilayah perintis dalam pelaksanaan prinsip perbankan Islam di Rusia, dan pengalaman Malaysia dalam sistem kewangan Islam amat dihargai dalam usaha memperkukuh pembangunan sektor tersebut.
“Rakan-rakan kami dari Malaysia memberikan sokongan yang baik. Kami belajar daripada anda dan menggunakan amalan terbaik,” katanya.
Selain industri halal, hubungan ekonomi antara Malaysia dan Rusia terus berkembang dengan peningkatan jumlah dagangan dua hala dalam sektor pertanian, minyak dan gas, petrokimia, teknologi maklumat serta pelbagai bidang lain.
Malaysia dan Tatarstan juga berkongsi aspirasi dalam pembangunan teknologi, dengan lawatan Anwar ke Kazan Hi-Technology Park sebelum ini membuka ruang kepada kerjasama lebih luas dalam bidang inovasi dan teknologi digital.
Sebagai tanda penghormatan, Rustam turut menghadiahkan koleksi puisi penyair klasik kesusasteraan Tatar, Gabdulla Tukai kepada Anwar, memperkukuh hubungan budaya antara kedua-dua negara.
Lawatan rasmi Anwar ke Rusia yang bermula pada 13 Mei di Moscow berakhir hari ini, sebelum beliau berangkat pulang ke Malaysia.