LANGKAWI: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) bakal diperluas susulan sambutan memberangsangkan daripada pemain industri antarabangsa yang mahu turut serta dalam acara berprestij itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kawasan pameran sedia ada terutamanya di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) kini semakin sesak dan tidak lagi mampu menampung pertambahan penyertaan dari luar negara.
“Saya ditaklimatkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa kawasan itu perlu diperbesar supaya berupaya menerima lebih banyak syarikat di peringkat antarabangsa,” katanya kepada media selepas merasmikan Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Langkawi, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelan pembesaran kawasan itu dijangka turut melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) bagi menyokong keperluan logistik pameran yang semakin berkembang.
Menurut beliau, meskipun tiada garis masa khusus ditetapkan, kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kewangan diminta menyediakan laporan awal berhubung cadangan tersebut dalam tempoh dua minggu.
“Ketika diberikan taklimat, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa negara yang mahu menyertai LIMA tetapi kita tidak mampu menampung semua kerana kekangan ruang. Jadi, pembesaran ini adalah keperluan mendesak,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Perdana Menteri berkata, pengembangan kawasan pameran LIMA adalah langkah penting ke arah menjadikan acara itu lebih berprestij dan mampu menyaingi pameran serantau lain.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu berkaitan perkhidmatan feri ke Langkawi dan memaklumkan perkara itu akan dibawa ke peringkat Kabinet bagi memperkasakan lagi prasarana pelancongan pulau tersebut.
“Saya telah minta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjadi Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi memastikan ada lonjakan dalam pembangunan pulau ini,” katanya.