Sunday, 25, May, 2025
Utama Gaya Hidup Bahasa kebangsaan teras pembinaan negara MADANI- Anwar

Bahasa kebangsaan teras pembinaan negara MADANI- Anwar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pemartabatan dan penguasaan bahasa kebangsaan tidak boleh dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

Menurut beliau, bahasa harus menjadi nadi dalam membentuk jati diri nasional, seiring dengan kemajuan ekonomi dan teknologi.

Dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa Public Bank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara hari ini, Anwar merujuk kepada beberapa negara maju sebagai contoh bagaimana kemajuan dapat dicapai tanpa menafikan kepentingan bahasa dan sastera kebangsaan.

“China contohnya, walaupun maju dalam bidang ekonomi dan teknologi tetap menekankan pendidikan karya klasik dalam bahasa Cina seperti Mengzi di sekolah… mereka mahu anak-anak kekal dengan identiti dia, tidak terjebak dan terpukau dengan karya asing yang mempengaruhi sikap dan jiwa anak muda,” katanya.

Beliau turut menyentuh tentang Rusia sebagai negara yang kekal berpegang kepada nilai-nilai kebudayaan dan sastera mereka, walaupun berada di barisan hadapan dalam kekuatan ketenteraan dan kemajuan pendidikan.

“Rusia (pula) dengan kekuatan ketenteraan, ekonomi dan disiplin dalam bidang pendidikan yang meningkat tinggi, hampir semua (orang Rusia) yang saya tanya tahu tentang kekuatan sastera, budaya Rusia… seperti karya agung Anna Akhmatova,” ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Anwar Ridhwan; serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Berhad, Datuk Sulaiman Abdul Manap.

Anwar menyarankan agar Malaysia mencontohi pendekatan negara-negara ini, dengan melihat pemerkasaan bahasa bukan sekadar slogan kosong, tetapi sebagai misi nasional yang perlu digerakkan secara kolektif oleh semua pihak termasuk sektor korporat.

“Dalam negara MADANI sementara kita berhempas pulas, bersaing untuk mendapatkan yang sebaiknya, institusi kewangan harus hebat, harus menerobos ke negara lain, itu tidak harus meninggalkan satu ciri dalam pembangunan negara yang sangat integral iaitu penguasaan bahasa yang baik dan menghargai, memartabatkan karya-karya besar ilmu,” katanya.

Tambah beliau, kealpaan terhadap pemeliharaan bahasa ketika negara giat mengejar transformasi boleh membawa kerugian besar dalam jangka panjang.

“Adalah satu kesilapan besar bagi kita tatkala kita mengejar perubahan, pembaharuan dan pembangunan, mengandaikan bahawa aspek-aspek ini boleh diremehkan, kerana tidak ada negara hebat, negara besar yang meninggalkan ini,” katanya.

Perdana Menteri turut menyambut baik usaha menghidupkan semula program Hadiah Bahasa yang pernah diperkenalkan pada tahun 1984, namun terhenti sejak 1998. Beliau menganggap ia sebagai langkah tepat dalam mengangkat semula agenda bahasa kebangsaan.

Beliau juga mengiktiraf sumbangan Public Bank sebagai contoh teladan kepada sektor swasta dalam menyokong pembangunan bahasa dan sastera.

Program Hadiah Bahasa Public Bank-DBP kini meliputi lima kategori utama yang memberikan penghargaan kepada hasil karya dalam bahasa Melayu yang bermutu, dihasilkan oleh pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com