PUTRAJAYA: Malaysia komited memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dalam agenda transformasi digital di peringkat serantau, sejajar dengan peranannya selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memperkasakan sektor digital dilakukan secara bersepadu dan bukan bersifat retorik semata-mata, selain menyasarkan ASEAN menjadi hab digital berdaya saing di bawah kepimpinan Malaysia.
“Transformasi digital bukan sekadar pengumuman retorik tetapi satu usaha bersepadu yang akan dikongsi bersama negara jiran.
“Kita mahu ASEAN di bawah Malaysia, akan menjadi hab digital yang lebih kompetitif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Maistorage Technology di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Anwar berkata, kejayaan dalam pelaksanaan transformasi digital turut disokong oleh kestabilan politik serta ketelusan dasar yang digerakkan kerajaan. Ini termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), peta hala tuju digital dan kerangka dasar strategik negara.
“Kita mesti mengelakkan rasuah, salah guna kuasa dan memastikan dasar dilaksanakan dengan efisien. Hanya dengan itu, Malaysia boleh menjadi syurga pelaburan untuk pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan digital yang bermakna, bukan sekadar pusat estetik tetapi, membawa nilai tinggi,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyambut baik langkah beberapa syarikat teknologi yang memberi peluang kepada jurutera dan tenaga profesional untuk turut memiliki saham dalam syarikat mereka sebagai sebahagian daripada amalan korporat baharu.
“Ini satu pendekatan baharu yang menjurus kepada prinsip keadilan dan kepedulian seperti yang terkandung dalam kerangka Madani.
“Usaha ini bukan sahaja membawa keuntungan kepada syarikat, tetapi turut memberi penghargaan kepada golongan profesional dan teknologis. Ini bukan sesuatu yang lazim kita lihat, tetapi inilah anjakan paradigma yang patut kita galakkan,” katanya.