Thursday, 29, May, 2025
Utama Nasional Malaysia mohon sokongan Trump anjur Sidang Kemuncak Asean-AS

Malaysia mohon sokongan Trump anjur Sidang Kemuncak Asean-AS

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasmi telah menyatakan hasrat untuk menganjurkan pertemuan antara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) menerusi surat yang dihantar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada Presiden Donald Trump.

Usaha itu dilakukan susulan mandat yang dicapai pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Langkawi awal tahun ini, yang memberi ruang kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk merintis kerjasama strategik dengan AS.

“Saya telah mengambil inisiatif, menulis kepada Presiden Trump bagi memohon kefahaman beliau dalam menganjurkan satu pertemuan antara Amerika Syarikat dan ASEAN, yang menunjukkan bahawa kita benar-benar menghormati semangat kepusatan ASEAN,” katanya dalam ucapan pembukaan Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media pada Ahad memaklumkan bahawa Malaysia masih menunggu pengesahan rasmi dari Washington berhubung cadangan tarikh persidangan khas itu.

Pada 5 April lalu, Mohamad turut menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi membincangkan hala tuju hubungan dua hala di bawah Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif Malaysia-AS.

Sementara itu, susulan pengumuman tarif timbal balik oleh Trump pada awal April lalu, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengambil pendirian untuk tidak melaksanakan tindak balas sebaliknya memilih dialog terbuka dengan AS.

Pendekatan tersebut, menurut Anwar, mencerminkan komitmen ASEAN terhadap penyelesaian damai dan kerjasama perdagangan yang mampan, sejajar dengan peranan rantau ini sebagai entiti yang stabil dan proaktif dalam menghadapi cabaran global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com