SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai contoh terbaik bagaimana kerjasama dua hala boleh memacu pelaburan, inovasi dan keterhubungan ekonomi antara dua negara.
Dalam ucaptamanya bertajuk “Holding Our Ground: Southeast Asia in a Fractured World” sempena Dialog Shangri-La ke-22 di sini, Anwar menegaskan bahawa Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, komited untuk membina hubungan serantau berasaskan persefahaman dan matlamat bersama, bukan sempadan yang memisahkan.
“Di saat dunia semakin dibentuk oleh perpecahan dan garis pemisah, Malaysia menawarkan sempadan yang bersatu dengan tujuan bersama. Jika JS-SEZ adalah bayangan apa yang boleh terhasil daripada kerjasama dua hala, maka ASEAN sepatutnya menjadi kanvas yang lebih meluas,” kata beliau.
Menurutnya, ASEAN tidak pernah diasaskan untuk mendominasi, tetapi untuk membina keamanan, melindungi kebebasan dan menegakkan prinsip berkecuali. Falsafah ini, tambah beliau, terus diperkukuh melalui pendekatan konsensus dan dialog berterusan antara negara anggotanya.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur baru-baru ini sangat bermakna dan produktif. Kami telah menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, pelan 20 tahun untuk mempererat hubungan serantau dengan fokus kepada pekerjaan, keterhubungan dan kelestarian. Inilah asas kepada keselamatan yang berkekalan,” ujar beliau.
Anwar juga menyatakan ASEAN sedang giat meluaskan ufuk strategiknya, antaranya melalui penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2, yang memperkukuh hubungan dengan negara-negara Teluk.
Malaysia, menurutnya lagi, turut melancarkan inisiatif tiga hala yang julung kali diadakan melibatkan ASEAN, GCC dan China, mencerminkan usaha berani untuk mempertemukan modal Teluk, tenaga kerja dan bakat ASEAN, serta skala ekonomi China.
Tambah beliau, Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang ditubuhkan baru-baru ini berperanan menangani kejutan ekonomi global melalui pendekatan bersepadu dan perancangan strategik yang lebih holistik.
Namun demikian, kata Anwar, kekuatan sebenar ASEAN tidak hanya terletak pada inisiatif besar yang menjadi tajuk utama media, tetapi juga pada “tabiat kerjasama” yang terhasil daripada nilai dalaman, disiplin dan amalan yang kukuh.
“Inilah yang dimaksudkan Alexis de Tocqueville sebagai ‘tabiat hati’, asas kepada institusi demokrasi yang beretika dan lestari. Ia melahirkan amalan seperti pemudahan perdagangan, kerangka keselamatan siber, peraturan data rentas sempadan dan kerjasama budaya.
“Ia mungkin tidak dramatik, tetapi itulah yang menyatukan Asia Tenggara dan menjadikannya mampu bertindak sebagai satu entiti,” tegas Perdana Menteri.
Dialog Shangri-La merupakan forum pertahanan dan keselamatan utama di Asia Pasifik yang menghimpunkan pemimpin serantau serta global, dan berlangsung di Singapura dari 30 Mei hingga 1 Jun.