JERANTUT -Kemeriahan Aidiladha bertukar pilu bagi sebuah keluarga apabila lima individu terkorban dalam satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di Jalan Jerantut Feri, awal pagi Sabtu.
Dalam insiden tragis yang berlaku sekitar jam 12.39 tengah malam itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Ikmal Ishak, 26; Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23; Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17; Mohd Azizul Hakimi Aziz Jaafar, 19; dan Mohd Zulkifli Aziz Jaafar, 21.
Kesemua mereka beralamat di Ulu Kinta dan Bota, Perak.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, dua mangsa ditemui tersepit dalam kenderaan, manakala tiga lagi tercampak keluar akibat impak perlanggaran yang kuat.
Susulan maklumat yang diterima, lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Pasukan bomba bertindak pantas menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum kesemuanya diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Difahamkan, pemandu dan dua penumpang Toyota Alphard,
dua lelaki dan seorang wanita cedera dan telah dihantar ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan lanjut.