KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara supaya menyemak dakwaan larangan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, kerajaan MADANI komited menjunjung prinsip kebebasan individu selagi tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang yang berkuat kuasa.
“Oleh itu, pihak PDRM perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini.
Pejabat Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan ini dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu hari ini.
Fahmi sebelum ini mendakwa beliau dilarang meninggalkan negara ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), semalam, ketika ingin menaiki penerbangan ke Singapura bagi menonton konsert.
Beliau berkata, pegawai Imigresen memaklumkan namanya telah disenaraihitamkan atas arahan Bukit Aman, namun tiada sebarang alasan rasmi diberikan.
Kejadian itu berlaku hanya seminggu selepas Fahmi turut didakwa dihalang memasuki Sabah, dipercayai susulan kritikannya terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Menerusi kenyataan di media sosial, Fahmi menyifatkan insiden larangan perjalanan itu sebagai satu bentuk sekatan terhadap kebebasan bersuara.
Beliau juga menyifatkan pengalaman itu sebagai “hadiah hari jadi yang tidak akan dilupakan”.
Kes berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet dan pemerhati hak asasi manusia yang menggesa penjelasan serta ketelusan daripada pihak berkuasa.