KUALA LUMPUR: Tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dipilih sebagai tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025), manakala logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai logo rasmi bagi sambutan tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pemilihan tema tersebut menggambarkan iltizam kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat, selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menjunjung nilai perpaduan, kesejahteraan dan kemanusiaan.
“Tema ini menzahirkan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat sentiasa disantuni, tidak kira di bandar mahupun luar bandar. Ia turut mencerminkan hasrat membina negara yang makmur serta harmoni secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media mingguan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri, di sini.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Fahmi berkata, pelbagai acara utama akan dianjurkan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat, antaranya Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang dijadual berlangsung pada 27 Julai 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pula akan diadakan secara besar-besaran di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos, manakala sambutan Hari Malaysia dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 16 September 2025.
“Pemilihan Pulau Pinang adalah bertepatan dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang dilaksanakan saban tahun,” jelas beliau.
Bagi memeriahkan lagi HKHM2025, kerajaan turut merancang 14 program sisipan seperti Kira Detik Merdeka, Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025, serta program klasik seperti Wayang Pacak Merdeka yang sinonim dengan sambutan kemerdekaan di pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Fahmi, inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang diperkenalkan pada sambutan tahun lalu akan diteruskan dengan lebih luas, termasuk penambahan dua kluster baharu iaitu kluster industri dan kluster agensi kerajaan.
“Pada 2024, program ini berjaya dilaksanakan membabitkan lima kluster – Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Kesihatan, Keselamatan dan Komuniti – dengan lebih 698 program di seluruh negara.
“Tahun ini, kita perluas kepada tujuh kluster bagi memperkukuh semangat patriotisme dan kebersamaan dalam mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan kenderaan,” katanya.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar menjaga maruah dan etika penggunaan Jalur Gemilang, termasuk tidak menggunakan bendera yang rosak, pudar atau koyak sebagai tanda hormat terhadap simbol negara.
“Maklumat lanjut berkenaan program, lokasi acara dan bahan kempen boleh diperoleh melalui portal rasmi Merdeka360,” katanya sambil menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menjayakan sambutan HKHM2025 dengan semangat penuh bangga dan bersatu hati.