PENDANG – Deruman enjin dan kelajuan lebih 550 bot kawalan jauh bakal mendominasi Tasik Pendang di Kedah dengan penyertaan peserta dari lapan negara yang turut serta dalam Kedah International RC Powerboat Racing 2025 bermula 13 hingga 15 Jun ini.
Pengarah program itu, Jasmi Harun berkata, jumlah penyertaan pada tahun ini mencatatkan pertambahan tiga kali ganda sekali gus memberi gambaran terhadap peningkatan prestij perlumbaan berkenaan.
“Pada tahun lalu hanya 180 bot yang mengambil bahagian dengan penyertaan diterima cuma dari Malaysia, Thailand dan Singapura. Namun kali ini kita turut menerima peserta dari Indonesia, Brunei, Myanmar, Kuwait dan Vietnam hingga menjadikan jumlah bot mencecah 550 buah.
“Penyertaan peserta tempatan turut menggalakkan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Para peserta terdiri daripada nama-nama besar dalam perlumbaan bot kawalan jauh yang telah banyak memenangi perlumbaan dalam dan luar negara.
“Dengan kelajuan bot mampu mencecah 130 kilometer sejam, para pengunjung akan dapat melihat bagaimana bot kawalan jauh para peserta itu saling memotong antara satu sama lain. Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk hadir menyaksikan sendiri acara itu bermula 8 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd. Zaidy Omar memaklumkan, perlumbaan itu merupakan sebahagian daripada acara yang diatur bersempena Tahun Melawat 2025 dan akan dianjurkan setiap tahun.
Selain perlumbaan bertaraf antarabangsa katanya, terdapat juga pelbagai aktiviti sampingan antaranya pameran dari pelbagai agensi dan jualan produk tempatan.
“Ini antara program yang dirancang bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Kedah. Dengan kejayaan penganjuran kali ini, kita mengharapkan agar lebih ramai peserta dari banyak negara dapat hadir ke Kedah pada tahun depan, ” katanya.