Sunday, 15, June, 2025
Utama Nasional MPD bantu rancang kemudahan awam, tidak jejak individu – Kementerian Komunikasi

MPD bantu rancang kemudahan awam, tidak jejak individu – Kementerian Komunikasi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menjelaskan bahawa Projek Data Telefon Bimbit atau Mobile Phone Data (MPD) bukanlah inisiatif untuk menjejak individu, sebaliknya bertujuan membantu kerajaan dalam merancang perkhidmatan awam secara lebih berkesan.

Menurut kenyataan kementerian, projek MPD menggunakan data pergerakan pengguna telefon bimbit yang telah dianonimkan dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi, seperti nama, nombor telefon atau nombor kad pengenalan.

“MPD bukan alat penjejak. Data yang digunakan adalah bersifat agregat dan umum, contohnya seperti mengetahui seramai 5,000 pengguna bergerak dari Seremban ke Nilai, tanpa mengenal pasti siapa mereka,” kata kenyataan itu.

Jelas kementerian lagi, data tersebut diperoleh melalui isyarat telefon yang berhubung dengan menara telekomunikasi dan diproses oleh syarikat telekomunikasi menggunakan skrip khas yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Hanya pegawai yang diberi kuasa di MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) boleh mengakses data tersebut. Ia tidak dikongsi dengan pihak ketiga, termasuk syarikat swasta, pengiklan atau aplikasi sosial,” tambah kenyataan itu.

Kementerian juga menegaskan bahawa keselamatan dan privasi data sentiasa menjadi keutamaan dengan pematuhan kepada protokol ketat termasuk pengawalan akses, pemadaman data selepas digunakan, serta audit secara berkala.

“Data yang digunakan akan dipadam atau disimpan secara selamat mengikut peraturan sedia ada. Tiada sebarang simpanan kekal dibenarkan tanpa justifikasi kukuh,” menurut kenyataan berkenaan.

MPD juga mematuhi garis panduan antarabangsa termasuk daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Persatuan GSMA dan Dasar Keselamatan ICT Negara.

“Itu sebagai badan antarabangsa memberikan bimbingan teknikal dan semakan struktur keselamatan untuk memastikan sistem yang digunakan selamat serta setanding dengan negara maju seperti Korea Selatan dan Perancis,” jelas kementerian.

Kementerian turut memaklumkan bahawa pendekatan menggunakan data pergerakan telefon bimbit bukan sesuatu yang baharu dan telah digunakan di banyak negara lain.

“Negara seperti Sepanyol, Brazil, Indonesia dan Perancis telah menggunakan kaedah serupa untuk perancangan bandar, pelancongan dan pengurusan bencana. Sepanyol contohnya, menggunakannya semasa pandemik COVID-19 bagi menentukan kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Sementara itu, kementerian menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa kerajaan sedang menjejaki pergerakan rakyat secara individu melalui MPD.

“Beberapa laporan media luar bersifat mengelirukan. Fakta sebenar ialah MPD berfungsi seperti kajian statistik trafik..kita tahu bilangan kereta di jalan raya, tetapi bukan siapa yang memandunya,” menurut kenyataan itu lagi.

Mengenai keizinan pengguna, kementerian menjelaskan bahawa kebenaran individu tidak diperlukan kerana data yang digunakan tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana orang secara spesifik.

“Ini sama seperti proses bancian atau pemantauan aliran trafik ,data diperoleh secara agregat tanpa pelanggaran privasi sesiapa,” jelas kementerian.

Kementerian menegaskan bahawa MPD merupakan satu inisiatif berasaskan data yang penting bagi membantu kerajaan merancang secara lebih efisien dalam bidang pengangkutan, pelancongan, kesihatan dan pengurusan bencana, demi manfaat rakyat keseluruhannya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com