Tuesday, 17, June, 2025
Utama Tech Anwar tegas peralihan tenaga perlu adil, tidak bebankan golongan rentan

Anwar tegas peralihan tenaga perlu adil, tidak bebankan golongan rentan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha peralihan tenaga ke arah penyahkarbonan mesti berpaksikan prinsip keadilan sosial, dengan memberi jaminan akses tenaga yang inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, inisiatif mengurangkan pelepasan karbon tidak boleh dilaksanakan dengan cara yang menambah beban kepada golongan berpendapatan rendah atau mereka yang hidup dalam kemiskinan.

“Usaha penyahkarbonan yang mengabaikan keperluan golongan yang terdedah kepada kemiskinan hanya akan memburukkan lagi jurang ketidaksamarataan. Justeru itu, keselamatan tenaga mesti merangkumi bukan sahaja kestabilan bekalan, tetapi juga keadilan sosial dan akses yang inklusif,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Perdana Menteri turut menekankan peranan penting industri tenaga dalam meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan karbon dalam sistem sedia ada, meskipun bahan api fosil masih menyumbang hampir 80 peratus kepada bekalan tenaga global.

“Ini satu tugas yang amat mencabar, namun kita tidak boleh berundur. Industri perlu melabur dalam inovasi dan kecekapan, agar peralihan tenaga berlaku secara berperingkat tanpa menjejaskan golongan rentan,” tegasnya.

Dalam konteks serantau, Anwar menyatakan bahawa keterjaminan tenaga kekal sebagai asas penting kepada pertumbuhan ekonomi Asia yang sedang berkembang.

“Ketika rantau ini bersedia menghadapi kebangkitan ekonomi, laluan menuju sasaran sifar bersih mesti mengiktiraf bahawa tenaga boleh diperbaharui boleh dilengkapi dengan minyak dan gas yang telah dikurangkan pelepasannya.

“Pendekatan yang seimbang ini penting untuk menjamin akses tenaga yang mampu milik, yang secara langsung akan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya lagi.

Anwar menutup ucapannya dengan menyeru kerjasama lebih erat antara negara serantau, syarikat tenaga dan komuniti global dalam membina masa depan tenaga yang mampan, adil dan lestari.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com