KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terus kekal sebagai institusi yang berwibawa dan progresif dalam memperjuangkan hak golongan rentan serta memainkan peranan aktif dalam memperkasa agenda hak asasi manusia di negara ini.
Beliau berkata demikian susulan pertemuan bersama Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus yang mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Putrajaya, pada Isnin.
“Pertemuan ini membuka ruang perbincangan mengenai pelbagai isu hak asasi manusia yang memberi kesan langsung kepada rakyat dari segenap lapisan masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Anwar, antara perkara yang dibincangkan termasuk pencapaian semasa Suhakam, cabaran yang dihadapi serta impak daripada perkembangan teknologi dan perubahan sosial yang pesat.
Beliau turut menyentuh tentang keperluan mendesak untuk menangani isu baharu yang timbul akibat kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi yang menurutnya telah membuka dimensi baharu dalam konteks hak asasi.
“Tumpuan khusus wajar diberikan terhadap perlindungan hak kanak-kanak yang kini semakin terdedah kepada pelbagai risiko baharu dalam era digital,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menerima kunjungan Ketua Pengarah Pertubuhan Dunia Islam bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO), Dr Salim M AlMalik, bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara Malaysia dan organisasi itu.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada bidang pendidikan, teknologi serta usaha pemeliharaan warisan budaya merentasi negara-negara Islam dan rantau ASEAN.
Anwar menjelaskan bahawa sebagai pertubuhan antara kerajaan berpengaruh yang berpusat di Rabat, Maghribi dan dianggotai lebih 50 negara, ICESCO memainkan peranan penting dalam pembangunan bidang pendidikan dan kebudayaan di dunia Islam.
“Saya menyambut baik pelbagai inisiatif strategik ICESCO dan menekankan perlunya kita fokus kepada bidang masa depan seperti pensijilan latihan AI, digitalisasi serta teknologi baharu yang kian menjadi keutamaan di kalangan negara membangun,” katanya lagi.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.