KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh sistem persaraan negara dengan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan inklusif. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik usaha KWSP ini dalam memastikan rakyat Malaysia menghadapi usia persaraan dengan lebih terjamin.
Ketika berucap pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 semalam, beliau menegaskan bahawa strategi KWSP masa kini adalah baik dan pihaknya terus berusaha memperkasa sistem persaraan agar sesuai dengan perubahan semasa.
“Saya turut memuji langkah KWSP dalam meneroka pendekatan baharu. Kita perlu mengiktiraf dan mengakui bahawa strategi KWSP pada masa kini sangat baik, dan mereka terus meneroka pendekatan agar kaedah persaraan yang lebih lengkap,” katanya.
Antara inisiatif terkini yang menjadi tumpuan adalah pelaksanaan skim caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara, yang dijangka mula dilaksanakan pada suku keempat 2025. Anwar menyifatkan langkah ini sebagai satu penanda aras penting dalam usaha memperkukuh perlindungan sosial di negara ini.
“Ia menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam pengukuhan perlindungan sosial,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa KWSP supaya merangka sistem persaraan yang lebih mencerminkan solidariti masyarakat, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah. Beliau menegaskan bahawa dalam visi kerajaan, tiada rakyat Malaysia seharusnya menua dalam ketakutan atau mengalami kesusahan akibat kemiskinan.
“Kita juga mesti berfikir untuk membina sistem yang mencerminkan solidariti lebih menyeluruh, terutama bagi mereka yang mempunyai pendapatan terhad sepanjang hayat,” katanya.
Anwar turut mengambil contoh beberapa negara yang telah menyesuaikan dasar pekerja dan persaraan bagi menangani jangka hayat yang lebih panjang, termasuk keseimbangan antara kemampanan fiskal dan keinginan individu untuk terus bekerja.
Menurutnya, peningkatan fleksibiliti di tempat kerja serta usaha mewujudkan persekitaran inklusif untuk semua peringkat usia adalah antara langkah yang perlu diberi perhatian.
“Ramai warga Malaysia lebih tua hari ini lebih sihat, lebih berpendidikan dan lebih berkemampuan daripada sebelum ini. Dengan sokongan yang betul, ramai daripada mereka dapat terus menyumbang melalui kerja, bimbingan atau khidmat masyarakat,” katanya.
Perdana Menteri turut menyifatkan penglibatan KWSP serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebagai satu bukti hubungan erat antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan serta kebajikan rakyat.
Turut hadir pada persidangan yang berlangsung selama dua hari itu ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta beberapa pemimpin utama KWSP.