Wednesday, 25, June, 2025
Utama Nasional JS-SEZ model kerjasama rentas sempadan luar biasa – PM

JS-SEZ model kerjasama rentas sempadan luar biasa – PM

oleh Ammar Haziq

ISKANDAR PUTERI – Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) diiktiraf sebagai contoh terbaik kerjasama dua hala yang mampu menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan ekonomi serantau dan global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, keunikan JS-SEZ terletak pada asasnya yang dibina atas semangat kepercayaan bersama serta kesungguhan Malaysia dan Singapura untuk bergerak sebagai satu pasukan mantap dalam meneroka potensi ekonomi rentas sempadan.

“Jangan pandang rendah kepentingan JS-SEZ. Ini bukan zon ekonomi biasa. Cuba beritahu saya jika ada zon ekonomi lain yang melibatkan dua negara, dibentuk sepenuhnya atas kepercayaan bersama dan semangat berpasukan yang luar biasa. Inilah kekuatan JS-SEZ,” katanya ketika berucap di majlis penutup Nikkei Forum Medini 2025 di sini, pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, daya tarikan JS-SEZ telah menarik minat pelabur dari Jepun, China, Korea Selatan dan Eropah, menjadikannya destinasi pelaburan dinamik di peringkat antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa kemajuan pesat zon tersebut tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada dasar kerajaan yang konsisten, kestabilan politik negara, serta peranan aktif agensi seperti Pusat Fasilitasi Invest Malaysia dalam mempercepat kelulusan pelaburan.

“Setiap kali ada permintaan baharu, kami tangani. Jika tertangguh di peringkat negeri, mereka datang kepada kami, dan kami mudahkan… bukan demi kepentingan peribadi, tetapi demi manfaat bersama,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah zon ekonomi bukan bergantung kepada insentif pelaburan semata-mata, tetapi perlu disokong oleh tadbir urus yang mantap dan integriti pentadbiran.

“Saya tak berminat tawarkan insentif baharu. Apa yang kita ada lebih penting kestabilan politik, sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen, dan keberanian memperbetul penyelewengan lalu seperti rasuah dan salah guna kuasa,” tegas beliau.

Beliau turut mengiktiraf sumbangan Iskandar Investment Berhad (IIB), Khazanah Nasional dan kerajaan negeri Johor sebagai pemain utama dalam menjayakan pelaksanaan JS-SEZ.

“Kita boleh ada dasar dan idea bernas, tapi tanpa komitmen dari birokrat dan eksekutif, ia tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com