PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan terhadap pelajar yang terlibat dalam insiden membakar karikatur wajahnya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini tidak wajar diteruskan, sambil menekankan pentingnya menghormati kebebasan bersuara.
Arahan itu disampaikan terus kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak pengurusan UMS agar tidak menyekat laluan akademik pelajar terbabit demi masa depan mereka yang masih panjang.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Anwar melihat insiden itu sebagai satu peringatan terhadap harapan tinggi rakyat, terutamanya anak muda, dalam usaha membanteras rasuah hingga ke akar umbi.
“Perdana Menteri sendiri muncul dari gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan di jalanan, jadi beliau sangat memahami suara (kritikan) itu.
“Kritikan sepedas mana pun, ia sebahagian dalam meraikan demokrasi dan semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan pandangan berdasarkan fakta dan niat yang telus,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, pada Selasa.
Tegasnya, kritikan meskipun pedas adalah sebahagian daripada semangat demokrasi yang sihat dan perlu diraikan.
Malah, beliau percaya bahawa perubahan besar sering bermula daripada suara generasi muda yang berani dan jujur.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul menyatakan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi kekal utuh dan akan dilaksanakan secara berstruktur, tanpa mengorbankan hak bersuara atau kebebasan akademik.
Pendekatan terbuka Perdana Menteri itu dilihat selari dengan semangat demokrasi yang semakin berkembang di negara ini, dan boleh menjadi penanda aras baharu kepada semua institusi pendidikan tinggi dalam mendidik dan membentuk generasi berfikir kritis dan bertanggungjawab.