Thursday, 3, July, 2025
Utama Nasional Kerajaan MADANI sanggup buat keputusan tidak popular demi rakyat – Anwar

Kerajaan MADANI sanggup buat keputusan tidak popular demi rakyat – Anwar

oleh Ammar Haziq

ROM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI bersedia mengambil keputusan tegas dan tidak popular sekiranya langkah itu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta pembangunan negara.

Menurut beliau, tindakan seperti pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan semakan tarif mungkin menimbulkan kritikan, namun ia perlu bagi memastikan hasil negara dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.

“Semua kerajaan sebelum ini pernah menyatakan subsidi kepada warga asing akan ditarik balik, tetapi tiada tindakan yang benar-benar dilaksanakan. Kini, Kerajaan MADANI berani mengambil langkah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra bersama diaspora Malaysia di Itali, diadakan di sini sempena lawatan kerja selama tiga hari ke negara berkenaan, pada Selasa.

Anwar menjelaskan, hasil daripada dasar rasionalisasi itu akan disalurkan semula ke arah pembangunan yang menyentuh keperluan asas rakyat seperti pembinaan sekolah, universiti dan hospital.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Malaysia lebih kompetitif di peringkat global, di samping memastikan kemudahan asas rakyat dipertingkat,” tambah beliau.

Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut menyifatkan rakyat Malaysia di luar negara sebagai duta dan aset penting negara yang berperanan membawa nama baik Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Kepada diaspora Malaysia di Itali, anda semua adalah sebahagian daripada kekuatan negara. Gunakan segala ruang dan peluang untuk menambah ilmu serta memperluas jaringan bagi memberi sumbangan kembali kepada tanah air,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Lawatan Perdana Menteri ke Itali merupakan sebahagian daripada usaha mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Itali serta menarik pelaburan strategik dari negara Eropah itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com