ROM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keberadaan rakyat Malaysia di serata dunia sebagai aset penting negara yang mampu memainkan peranan sebagai duta kecil di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, diaspora Malaysia bukan sekadar penuntut atau pekerja di luar negara, sebaliknya mewakili wajah negara yang membawa nama baik Malaysia di mata dunia.
“Justeru, saya menyeru agar mereka terus memanfaatkan peluang yang ada untuk memperkukuh ilmu, kemahiran dan jaringan bagi menyumbang semula kepada tanah air,” katanya.
Anwar berucap demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga diaspora Malaysia di Itali, diadakan di sini sempena lawatan rasminya ke negara itu pada Selasa.
Dalam majlis berkenaan, Perdana Menteri turut berkongsi pelbagai usaha dan dasar Kerajaan Madani dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta hala tuju masa depan negara, di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi global.
Lawatan rasmi itu dilakukan atas jemputan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
Anwar turut diiringi beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sementara itu, data perdagangan menunjukkan hubungan ekonomi Malaysia-Itali terus berkembang, apabila jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatat peningkatan dua peratus pada tahun lalu kepada RM14.61 bilion (AS$3.18 bilion) berbanding 2023.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan kenaikan 3.3 peratus kepada RM6.50 bilion (AS$1.48 bilion) berbanding tempoh sama tahun lalu.
Itali kini merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah, selain menjadi pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dari blok tersebut bagi tahun ini.