KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepimpinan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya terus mengangkat martabat pasukan itu sebagai institusi keselamatan yang profesional, berintegriti dan diyakini semua pihak.
Beliau berkata, selain memperkukuh kepercayaan rakyat, kebajikan pegawai, anggota serta veteran pasukan keselamatan itu tidak harus diabaikan.
Pesanan itu disampaikan Anwar ketika menerima kunjungan hormat Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, di Putrajaya, semalam.
“Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha memodenkan PDRM untuk berdepan cabaran keselamatan semasa menerusi penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya menerusi catatan di Facebook.
Anwar berkata, sebagai sebuah institusi penting kepada rakyat dan negara, PDRM memerlukan iltizam serta komitmen tinggi dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.
“Selamat maju jaya kepada Datuk Seri Mohd Khalid. Semoga berjaya mengangkat aspirasi, imej dan reputasi PDRM ke tahap tertinggi,” katanya.
Mohd Khalid, yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun mulai 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2027, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bersara baru-baru ini.