PARIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Élysée mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam rangka lawatan rasmi dua hari beliau ke negara itu.
Pertemuan tersebut dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Selain hal ehwal kerjasama ekonomi dan teknologi, Anwar turut dijadual menyentuh isu-isu antarabangsa termasuk perkembangan di Asia Barat, khususnya krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza.
Terdahulu, pada Jumaat, Anwar mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Agung Perancangan Perancis, Francois Bayrou.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Perancis ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Perancis, yang turut merangkumi kerjasama sektor swasta dan akademik.
Sejurus selesai lawatan di Paris, Anwar berlepas ke Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Julai.