Monday, 7, July, 2025
Utama Nasional Malaysia, Perancis gesa gencatan senjata kekal di Gaza

Malaysia, Perancis gesa gencatan senjata kekal di Gaza

oleh Ammar Haziq

PARIS: Malaysia dan Perancis sepakat menyeru kepada pelaksanaan gencatan senjata kekal di Gaza serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik berpanjangan di wilayah itu.

Gesaan itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam sidang media bersama di Istana Élysée, sempena lawatan rasmi dua hari Anwar ke Perancis.

Macron berkata kedua-dua negara bersetuju bahawa penyelesaian dua negara kekal sebagai jalan terbaik ke arah penyelesaian jangka panjang isu Palestin-Israel.

“Kami sedang bekerjasama dengan beberapa pihak, termasuk Arab Saudi, dalam hal ini. Buat masa ini, Israel perlu membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza,” katanya.

Anwar pula menzahirkan sokongan terhadap inisiatif diplomatik Perancis dalam isu berkenaan dan mengutuk serangan berterusan terhadap orang awam.

“Kita mengutuk serangan bom dan kekejaman terhadap wanita serta kanak-kanak. Amat menyedihkan apabila komuniti antarabangsa masih belum mampu menyelesaikan krisis ini.

“Justeru, inisiatif anda kami sokong. Tiada kompromi dalam hal keamanan. Sekiranya keamanan menuntut komitmen daripada kedua-dua pihak, kami kekal menyokong penyelesaian dua negara,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menegaskan pendirian Malaysia terhadap penggunaan teknologi nuklear, dengan menyatakan bahawa sebarang dasar berkaitan isu itu harus diamalkan secara konsisten dan tidak pilih kasih.

“Kita tidak boleh bersikap selektif dalam isu tenaga atau senjata nuklear. Jika Iran dilarang, tetapi Israel dibenarkan — itu satu masalah.

“Kita perlu menekankan supaya penggunaan nuklear dibuat hanya untuk tujuan aman dan dibenarkan untuk dipantau. Iran sendiri sudah memberikan komitmen ke arah itu,” katanya.

Macron dalam reaksi balas menyatakan bahawa Iran juga perlu menunjukkan komitmen kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear dan menarik semula undang-undang yang mengehadkan kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Beliau turut menyeru agar Iran bersetuju terhadap perjanjian yang boleh menamatkan aktiviti pengayaan uranium secara menyeluruh, dengan jaminan akses kepada penggunaan tenaga nuklear secara aman.

Macron turut menyentuh isu lain yang menjadi tumpuan semasa termasuk konflik di Ukraine dan menyuarakan pendirian Perancis yang menolak sebarang bentuk serangan terhadap orang awam.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap penduduk awam. Perang pencerobohan ini membawa kesan yang melangkaui sempadan Eropah, termasuk penglibatan luar seperti tentera Korea Utara,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com