RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Berucap pada majlis pembukaan Forum Perniagaan BRICS di sini, Jumaat lalu, Lula menegaskan komitmennya untuk hadir ke sidang kemuncak serantau itu selepas menerima undangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saya ingin menyampaikan penghargaan ikhlas kepada Perdana Menteri Malaysia atas undangan ini. Saya akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober ini, katanya.
Menekankan kepentingan penglibatan secara aktif, Lula turut mengajak usahawan Brazil supaya memanfaatkan platform sidang kemuncak itu sebagai pintu masuk penting ke pasaran ASEAN.
Saya mengajak usahawan Brazil supaya bersedia ke Malaysia. Mereka yang mahu menjual harus hadir, mereka yang mahu membeli juga harus hadir. Jangan hanya menunggu dan mengharap sesuatu akan berlaku, ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan bertajuk “Merapatkan Jurang Benua, Membina Masa Depan: Agenda Bersama untuk Kemajuan Mampan” pada forum berkenaan.
Turut hadir, Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin dan Presiden Gabungan Industri Kebangsaan Brazil (CNI), Ricardo Alban.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.
Sidang kemuncak itu bakal menjadi perhimpunan pertama ketua negara dan kerajaan negara anggota serta rakan BRICS.
Malaysia secara rasmi memperoleh status Negara Rakan BRICS pada 1 Januari 2025.