Friday, 11, July, 2025
Utama Nasional Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini dijangka terbesar dalam sejarah

Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini dijangka terbesar dalam sejarah

oleh Ammar Haziq

RIO DE JANEIRO: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini dijangka mencatat sejarah sebagai yang terbesar sejak penubuhan ASEAN pada 1976, susulan pengesahan kehadiran pelbagai pemimpin negara bukan Rakan Dialog ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain pemimpin dari negara anggota ASEAN dan Rakan Dialog sedia ada, beberapa pemimpin dari blok global lain turut menyatakan komitmen untuk hadir ke persidangan bersejarah itu.

“Selain Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, Presiden Brazil, Luis Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa juga telah bersetuju untuk hadir.

“Sidang Oktober ini menjadikan ia terbesar dalam sejarah ASEAN dengan kehadiran pelbagai negara,” katanya dalam sidang media merumuskan lawatan rasmi ke Rio de Janeiro sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS, semalam.

Rakan Dialog ASEAN terdiri daripada Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Menurut Anwar, perkembangan itu mencerminkan peningkatan minat global terhadap ASEAN sebagai blok serantau yang semakin berpengaruh, terutama dari negara-negara yang selama ini tidak terlibat secara langsung dalam kerjasama ASEAN.

Pada Mei lalu, Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang — sidang pertama seumpamanya yang mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan dalam memperkukuh kerjasama strategik dan ekonomi serantau.

Untuk rekod, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merangkumi enam negara Arab: Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com