Sunday, 13, July, 2025
Utama Nasional Ketua Hakim Negara : Latheefa Koya patut tahu prosedur Perlembagaan

Ketua Hakim Negara : Latheefa Koya patut tahu prosedur Perlembagaan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Ketua Cabang PKR Alor Setar, Datuk Zamri Yusuf mempersoalkan tindakan Latheefa Koya yang mempertikai pelantikan Ketua Hakim Negara (KHN) baharu, sedangkan perkara itu telah diperjelaskan mengikut peruntukan perlembagaan.

Beliau berkata, rakyat umum juga berasa hairan apabila seorang bekas peguam dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti Latheefa, boleh bertanyakan soalan berhubung tempoh tamat perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menjelaskan bahawa Ketua Hakim Negara telah mencapai usia persaraan mandatori 66 tahun seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan negara.

“Latheefa juga seharusnya arif mengenai perlembagaan serta proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang menjadi bidang kuasa dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah Zamri, tindakan Latheefa mempertikaikan perkara tersebut seolah-olah cuba membangkitkan keraguan terhadap proses yang telah jelas termaktub dalam undang-undang.

“Beliau seperti mahu mengutuk Perdana Menteri, tetapi secara tidak langsung mempersoalkan urusan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan Ketua Hakim Negara.

“Latheefa tidak sepatutnya mempertikai proses dan pelantikan yang sememangnya jelas dan termaktub dalam perlembagaan. Ia bukan bidang kuasa beliau untuk menafsir sesuka hati,” katanya.

Menurut Zamri lagi, Malaysia tidak ketandusan tokoh berwibawa untuk mengetuai mana-mana agensi penting negara termasuk jawatan Ketua Hakim Negara.

“Institusi kehakiman negara kita sentiasa dipandu oleh proses yang telus dan profesional, justeru tidak timbul isu kononnya wujud campur tangan atau tekanan dalam pelantikan jawatan tertinggi institusi kehakiman,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya mendesak Perdana Menteri tampil menjawab dakwaan kononnya perkhidmatan Tun Tengku Maimun tidak disambung kerana satu ucapan yang disampaikan beliau ketika menghadiri forum antarabangsa di Malta.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com