Monday, 14, July, 2025
Utama Nasional Kekosongan Ketua Hakim Negara: bukan satu krisis – ADUN Pulau Tikus

Kekosongan Ketua Hakim Negara: bukan satu krisis – ADUN Pulau Tikus

oleh Ammar Haziq

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng menyatakan bahawa kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara susulan persaraan Tengku Maimun Tuan Mat tidak seharusnya dilabel sebagai krisis kehakiman.

Menurut beliau, situasi sedemikian pernah berlaku sebelum ini, merujuk kepada persaraan Richard Malanjum pada April 2019, di mana jawatan Ketua Hakim Negara dibiarkan kosong selama 19 hari sebelum digantikan.

Katanya, setakat ini, kekosongan baharu hanya memasuki hari keenam dan tempoh itu masih dalam batas kebiasaan.

“Perlantikan Ketua Hakim Negara sebelum ini pun melibatkan hakim yang masih junior seperti Tengku Maimun. Jadi, tidak wajar kita menganggap kelewatan sekarang sebagai krisis,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam menyentuh isu pelantikan kehakiman, Woo menekankan keperluan untuk proses yang telus dan berintegriti.

Katanya, walaupun kebebasan kehakiman penting, masyarakat perlu memahami bahawa tiada pemisahan kuasa yang mutlak antara cabang pemerintahan.

“Pelantikan tertinggi kehakiman melibatkan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Ini menunjukkan kebergantungan antara eksekutif, legislatif dan kehakiman, dan bukan pengasingan kuasa secara total,” tambah beliau.

Mengulas cadangan supaya Malaysia mengikut sistem Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) United Kingdom, Woo menjelaskan bahawa sistem tersebut turut menghadapi kritikan dan masalah ketelusan.

“Pelantikan masih memerlukan kelulusan Lord Chancellor, yang merupakan menteri kabinet. Malah ada kes calon ditolak walaupun disyorkan JAC, dan ada dakwaan sistem UK tidak adil,” katanya.

Sebagai langkah ke hadapan, Woo mencadangkan penubuhan “Kamar Antara Cabang” sebagai wadah rasmi dialog antara eksekutif, legislatif dan kehakiman. Menurutnya, pendekatan itu boleh meningkatkan ketelusan dalam pelantikan jawatan penting dan memberi ruang kepada rakyat untuk menilai keputusan kerajaan secara terbuka.

“Rakyat berhak tahu pertimbangan di sebalik pelantikan, dan dokumen kamar ini boleh dijadikan rekod awam. Ini akan memperkukuh akauntabiliti dalam sistem demokrasi kita,” jelasnya.

Tambahnya, pelantikan Ketua Hakim Negara bukan sekadar soal prosedur tetapi peluang untuk memperbaharui pendekatan terhadap tadbir urus negara secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com