Tuesday, 15, July, 2025
Utama Ekonomi Projek solar terapung kenyir buka peluang TVET anak tempatan

Projek solar terapung kenyir buka peluang TVET anak tempatan

oleh Ammar Haziq

KUALA BERANG: Pembangunan projek solar terapung hidro hibrid di Tasik Kenyir bakal membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak tempatan, khususnya mereka yang memiliki kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sebelum ini telah mengusulkan kepada Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar memperluas latihan kemahiran, termasuk memperkenalkan kaedah baharu bagi memastikan anak tempatan dapat menyertai pembangunan projek mega di kawasan mereka sendiri.

“Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh Petronas dan TNB. Kita tahu kedua-dua syarikat ini menjalankan program latihan TVET hingga ke peringkat universiti.

“Saya minta agar projek besar di Kenyir ini menjadi peluang khusus kepada TNB dan Petronas untuk bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia dan juga Kerajaan Negeri Terengganu bagi menyediakan program latihan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau Terengganu di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Kenyir.

Anwar menegaskan, penyediaan latihan khas itu bukan sekadar membuka ruang kerja asas, sebaliknya memberi peluang kepada anak-anak Kuala Berang dan Terengganu secara umum untuk terlibat secara langsung dalam aspek teknikal dan kepakaran projek berkenaan.

“Saya nak pastikan anak Kuala Berang sendiri diberi latihan. Takkanlah bila ada projek besar di sini, anak-anak hanya buka restoran kecil atau jadi tukang pembersih?

“Itu pun penting dan diperlukan, tetapi lebih baik jika dirancang agar wujud satu kuota khas supaya mereka juga terlibat sebagai tenaga kerja mahir,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa sebahagian kuota latihan dan pekerjaan yang ditawarkan harus memberi keutamaan kepada anak-anak tempatan, termasuk daripada golongan miskin, agar mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan.

“Saya mahu rakyat di sini melihat bahawa apabila ada projek besar, mereka juga mendapat manfaat secara langsung. Dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi, peluang latihan ini boleh disegerakan,” katanya.

Projek tenaga boleh diperbaharui itu dijangka memberi impak positif bukan sahaja kepada sektor tenaga, malah turut merancakkan pembangunan ekonomi setempat dengan penyertaan tenaga kerja tempatan yang terlatih.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com