ALOR SETAR – Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah kini memangku jawatan Ketua Polis Kedah berkuat kuasa hari ini selepas menerima amanah tersebut daripada Datuk Fisol Salleh dalam satu majlis serah tugas rasmi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
Majlis penyerahan yang berlangsung dalam suasana penuh hormat itu turut disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.
Adzli akan memangku jawatan itu sehingga pengumuman rasmi Ketua Polis Kedah yang baharu dibuat oleh pihak Bukit Aman.
Sementara itu, Fisol yang telah menerajui kepimpinan polis negeri selama dua tahun, satu bulan dan 13 hari, akan memulakan tugas baharu sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) di Bukit Aman.
Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan tugas Pengerusi Perkep Kontinjen Kedah daripada Norli Ahmad kepada Hasnah Sagap.
Fisol turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga polis Kedah atas dedikasi dan kerjasama sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.
“Daerah Kuala Muda pernah mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi di negara ini selama dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024, namun dengan komitmen semua pihak, ia berjaya diturunkan ke kedudukan ke-15,” katanya dalam ucapan.
Beliau turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerja berpasukan, bukan hanya dalam pengurangan kemalangan tetapi juga dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.