PERMATANG PAUH:Seramai lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi dijadual mengangkat sumpah pada 28 Julai ini selepas proses pelantikan mereka disempurnakan mengikut prosedur ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan kesemua hakim berkenaan telah melalui saringan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), rundingan bersama Raja-Raja Melayu serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ramai yang tanya kenapa tidak umum awal. Saya tidak boleh buat pengumuman sembarangan kerana proses pelantikan hakim memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas rundingan bersama Raja-Raja.
“Ia bukan soal suka atau tidak. Ia mesti mengikut proses dan setelah dipersetujui Raja-Raja, barulah disembah maklum untuk perkenan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (PIPBPP) 2026-2035, Program Tunas MADANI dan Projek Perumahan oleh JKPSB di sini.
Anwar turut menegaskan, tiada hakim yang dipecat sebagaimana digambarkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya proses pemilihan dilakukan dengan penuh teliti dan hormat kepada sistem Raja Berperlembagaan.
Sementara itu, dalam majlis anjuran Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) itu, beliau melancarkan tiga inisiatif utama yang disasarkan khusus untuk meningkatkan kesejahteraan golongan Bumiputera di negeri ini.
Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (PIPBPP) 2026-2035 yang dilancarkan akan menjadi dokumen strategik utama dalam memacu pembangunan komuniti Bumiputera secara berterusan, inklusif dan mampan.
PIPBPP dibangunkan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai rakan perunding serta penyelidik.
Dalam masa sama, Program Tunas MADANI diperkenalkan bagi memperkasa graduan Bumiputera untuk menjadi pencipta peluang pekerjaan, khususnya melalui bidang keusahawanan.
Program itu merangkumi latihan intensif, bimbingan mentor industri, akses pembiayaan serta peluang pasaran, sebagai usaha membina keupayaan keusahawanan secara menyeluruh.
Pengerusi MPBPP, Tan Sri Khalid Ramli berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 100 graduan menyertai fasa pertama Tunas MADANI, dengan sasaran 80 peratus peserta berjaya menubuhkan perniagaan aktif dalam tempoh setahun.
Beliau turut mengumumkan pembinaan tiga projek perumahan oleh syarikat JKPSB di Permatang Pauh membabitkan keseluruhan 3,231 unit kediaman, dengan nilai pembangunan mencecah RM1 bilion.
“Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada komuniti Bumiputera memiliki rumah yang lengkap dengan kemudahan asas dan persekitaran yang kondusif,” katanya.