Saturday, 13, September, 2025
Utama Nasional Jho Low didakwa sembunyi di Shanghai, PM sahkan tiada maklumat rasmi

Jho Low didakwa sembunyi di Shanghai, PM sahkan tiada maklumat rasmi

oleh Ammar Haziq

TELUK KUMBAR: Kerajaan belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung lokasi terkini ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa kini menetap di kawasan elit Green Hills di Shanghai, China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan mengenai laporan media berkaitan perkara itu, namun belum memperoleh sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa.

“Saya belum dapat apa-apa maklumat rasmi. Saya ada baca, tetapi saya akan semak dengan Menteri Dalam Negeri,” katanya ringkas ketika ditanya media.

Beliau mengulas dakwaan dua wartawan penyiasat, Bradley Hope dan Tom Wright yang mendakwa Jho Low kini bersembunyi di Shanghai dengan menggunakan nama dan pasport palsu atas identiti ‘Constantinos Achilles Veis’ dari Australia.

Dakwaan itu dibuat dalam satu episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright pada Jumaat lalu.

Kedua-dua wartawan tersebut sebelum ini terkenal dengan pendedahan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jho Low masih menjadi suspek utama dalam kes penyelewengan dana 1MDB dan terus diburu pihak berkuasa Malaysia serta antarabangsa sejak 2018. Notis merah Interpol terhadapnya masih berkuat kuasa.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada kerajaan China berhubung dakwaan bahawa beliau berada di negara itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com