PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya benar mahu menukar kepimpinan Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, sebarang perhimpunan atau kritikan terhadap dirinya, termasuk desakan supaya meletak jawatan, tidak dihalang asalkan dilakukan mengikut proses demokratik dan selaras dengan Perlembagaan.
“Ada yang kata Anwar kena turun. Polis bagi laporan, saya kata jalan, saya tak halang. Tapi bila sebut mahu paksa tukar kerajaan, itu pelik. Bila ditanya mahu pilihan raya atau tidak, dia jawab tak mahu. Saya kata tak mengapa.
“Saya sudah maklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, kalau ada usul undi tidak percaya hari ini, jalankan undian. Ini hari pertama sidang, saya tunggu. Kalau betul ada majoriti, silakan. Jemaah Menteri akan berundur. Itu sistem kita,” katanya ketika berucap pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.
Anwar turut mempersoal kemampuan pembangkang untuk memperoleh sokongan mencukupi bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada, memandangkan Kerajaan Perpaduan kini memiliki majoriti dua pertiga.
Katanya, sebarang percubaan untuk menukar kerajaan tanpa sokongan jelas dan di luar proses pilihan raya adalah bercanggah dengan asas demokrasi berperlembagaan.
“Kalau mahu bawa undi tidak percaya, mesti ada angka cukup. Tapi mereka sendiri tahu tak mampu. Alhamdulillah, kita masih kuat, ada sokongan dua pertiga. Nak tukar Perdana Menteri sekarang, itu sudah langgar prinsip Perlembagaan,” katanya.
Beliau turut mengecam naratif huru-hara yang dimainkan segelintir pihak dan menyifatkannya sebagai usaha mewujudkan ketidakstabilan politik serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“Saya nak ingatkan, kita kerajaan yang bertolak ansur, tapi kalau prinsip Perlembagaan dicabar, kita akan tegas.
“Saya harap keadaan kekal aman. Tidak perlu berdengki. Apa lagi yang mahu dipertikaikan?” katanya.
Anwar berkata beliau terbuka menerima kritikan, termasuk tuduhan tidak cekap mengurus negara dan gesaan untuk diganti, namun menolak desakan yang bersifat melanggar undang-undang.
Katanya, tindakan sedemikian hanya mengganggu kestabilan politik dan menjejaskan pemulihan ekonomi negara.