PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang memandang rendah bantuan tunai tambahan RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan menegaskan bahawa jumlah itu membawa makna besar kepada golongan rentan dan masyarakat luar bandar.
Katanya, mereka yang bergaji puluhan ribu sebulan mungkin tidak merasa apa-apa, namun kerajaan lebih memahami kesan bantuan itu kepada rakyat biasa.
“Orang yang bergaji RM20,000 atau RM40,000 kata RM100 tak cukup. Tapi kalau kita turun ke kampung, kita tahu nilai RM100 itu besar ertinya. Jangan pandang dari lensa elit semata-mata,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini.
Anwar menjelaskan, bantuan itu mungkin kecil secara individu, tetapi bagi keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai empat ahli dewasa, jumlahnya boleh mencecah RM400, dan meningkat sehingga RM700 apabila digabungkan dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada.
“Ini bukan janji kosong, ini hasil usaha menambah peruntukan kebajikan rakyat dari RM13 bilion kepada RM15 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegur pihak yang mempertikaikan langkah kerajaan menyasar semula subsidi petrol, khususnya terhadap warga asing.
“Ketua pembangkang boleh kritik, tapi biarlah berasaskan fakta. Kita tak dera warga asing, kita cuma tarik subsidi kerana mereka bukan rakyat Malaysia. Negara mereka pun jual minyak lebih mahal dari kita – Singapura, Thailand, Indonesia semua lebih RM2.50 seliter,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan beberapa langkah pro-rakyat bersempena sambutan bulan kemerdekaan termasuk bantuan tunai sekali beri RM100, penangguhan kenaikan tol bagi 10 lebuh raya serta harga baharu petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter menerusi subsidi bersasar.