CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mencadangkan pelaksanaan kerangka pengawalseliaan baharu bagi penyimpanan, pemeliharaan dan pendedahan data komunikasi untuk tujuan siasatan, dalam usaha meningkatkan keselamatan negara dan melindungi rakyat daripada menjadi mangsa jenayah digital.
Cadangan itu dibentangkan menerusi satu Kertas Rundingan Awam yang dibuka untuk maklum balas awam mulai 25 Julai hingga 8 Ogos 2025, sebagai langkah ke arah mewujudkan garis panduan jelas serta seragam kepada semua penyedia perkhidmatan komunikasi, aplikasi dan platform.
Menurut MCMC, kerangka baharu ini akan mewajibkan penyedia perkhidmatan menyimpan jenis data komunikasi tertentu seperti metadata (bukan kandungan), memelihara data penting atas permintaan siasatan, serta menyediakan data tersebut kepada pihak berkuasa yang sah apabila diperlukan.
“Data komunikasi sering menjadi bahagian penting yang hilang dalam siasatan membabitkan jenayah siber, penipuan kewangan, eksploitasi seksual kanak-kanak dan kegiatan ekstremisme.
“Dengan kerangka ini, pihak berkuasa boleh bertindak lebih cepat dan tepat sebelum lebih ramai menjadi mangsa,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.
MCMC turut menjelaskan bahawa amalan penyimpanan data ketika ini berbeza-beza antara syarikat dan platform, menyebabkan berlaku kekeliruan dan menjejaskan keberkesanan siasatan. Justeru, kerangka ini akan menyelaraskan pendekatan industri serta menutup kelemahan sistem sedia ada.
Dalam masa sama, MCMC menegaskan bahawa perlindungan terhadap hak privasi rakyat tetap menjadi keutamaan.
“Setiap akses kepada data akan dilakukan secara sah dan hanya untuk tujuan siasatan, tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010,” kata kenyataan itu lagi.
Kerangka baharu itu akan terpakai kepada penyedia perkhidmatan komunikasi, vendor teknologi, operator platform dan semua entiti yang mengendalikan data komunikasi dalam rantaian perkhidmatan.
Sehubungan itu, MCMC menggalakkan rakan media untuk memainkan peranan membantu masyarakat memahami cadangan ini secara seimbang, selain memetik pandangan pakar, peguam, akademik atau NGO yang menyokong usaha memperkukuh akses data demi keselamatan awam.
Pada masa sama, media juga digesa memperkukuh mesej bahawa hak privasi rakyat tetap terpelihara dan kerangka ini adalah langkah penting ke arah menjamin masa depan keselamatan digital negara.