Saturday, 2, August, 2025
Utama Nasional Isu Batu Puteh: Keputusan tak ambil tindakan terhadap Tun M diputus Kabinet – PM

Isu Batu Puteh: Keputusan tak ambil tindakan terhadap Tun M diputus Kabinet – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Batu Puteh adalah keputusan kolektif Kabinet dan bukan campur tangan terhadap bidang kuasa Peguam Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata meskipun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan supaya laporan polis dibuat dan tindakan susulan diambil terhadap Dr Mahathir, kerajaan memilih untuk tidak meneruskan langkah itu selepas meneliti keseluruhan laporan dan mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk faktor usia.

“Itu dia (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) ikut proses sebab dia belum baca keseluruhan laporan suruhanjaya. Laporan pasukan khas memang ada mengusulkan agar laporan dibuat terhadap Tun Mahathir atas dakwaan pengkhianatan terhadap negara dan tindakan susulan diambil.

“Tetapi saya tidak melangkaui bidang kuasa Peguam Negara. Ini adalah keputusan Kabinet. Saya sudah teliti perkara ini dan walaupun dakwaan itu berat, kita mengambil kira keadaan dan usia Tun, maka Kabinet mencadangkan supaya tidak diambil tindakan.

“Malah, keputusan untuk mendakwa pun tidak timbul kerana siasatan polis pun belum dimulakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Akhir Bahasa Piala Perdana Menteri Ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.

Sebelum ini, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) berkaitan isu Batu Puteh.

Usul berkenaan menyusuli kenyataan Anwar di Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir, dengan alasan faktor usia beliau yang telah lanjut.

Dalam perkembangan itu, Anwar menegaskan bahawa kerajaan tetap menghormati semua proses perundangan, namun keputusan berhubung tindakan ke atas laporan RCI juga perlu berpaksikan budi bicara dan kebijaksanaan pentadbiran semasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com