Sunday, 3, August, 2025
Utama Nasional RMK13: Kerajaan wujudkan Angkatan Masa Hadapan Bersepadu, perkukuh keselamatan negara

RMK13: Kerajaan wujudkan Angkatan Masa Hadapan Bersepadu, perkukuh keselamatan negara

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memastikan kestabilan, kemakmuran dan kedaulatan negara terus terpelihara, Kerajaan Perpaduan akan menubuhkan Angkatan Masa Hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus, dengan keupayaan tinggi dalam menangani cabaran keselamatan semasa dan mendatang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis, menegaskan bahawa keselamatan dan pertahanan negara kekal menjadi keutamaan dalam pelan pembangunan lima tahun akan datang, selari dengan tema RMK13, “Melakar Semula Pembangunan.”

“Keupayaan aset keselamatan dan pertahanan serta kapasiti anggota keselamatan akan terus diperkasa dengan penggunaan teknologi termaju, termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kawalan sempadan darat dan maritim akan terus diperketat bagi mengekang pelbagai ancaman rentas sempadan seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah antarabangsa.

Dalam masa sama, kesiapsiagaan negara dalam mempertahankan kedaulatan di kawasan strategik seperti Laut China Selatan akan terus diperhebat secara menyeluruh.

“Ini termasuk pendekatan pelbagai dimensi melibatkan kerjasama antara agensi, pembangunan teknologi pemantauan sempadan, dan operasi taktikal yang lebih bersasar,” kata Anwar.

Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan aspek kawalan keselamatan, RMK13 turut memperkenalkan peralihan sistem imigresen negara ke arah digitalisasi sepenuhnya menerusi pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional yang lebih moden dan cekap.

Sistem ini akan mempercepatkan proses keimigresenan, meminimakan ketirisan serta meningkatkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara secara masa nyata.

Menurut Perdana Menteri, RMK13 memperlihatkan tekad kerajaan memperkukuh pertahanan negara bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi juga melalui pendekatan strategik, teknologi dan pengurusan sumber manusia yang efisien.

“Pengukuhan keselamatan dan pertahanan sentiasa menjadi perkara asas dan diberikan perhatian utama bagi menjamin kestabilan serta kemakmuran jangka panjang negara,” katanya lagi.

Langkah ini, jelas beliau, bukan sahaja penting dalam mendepani cabaran geopolitik serantau, tetapi juga sebagai pemangkin keyakinan pelabur dan komuniti antarabangsa terhadap keselamatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan aman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com